Saturday 20 April 2013

Sabar Kunci Penghapus Kekecewaan

Ahad (21 April 2013)

"Kenapa menangis, sahabat? Bersedihkah kamu, terlukakah kamu, kecewakah kamu? Menangislah. menangislah sepuas-puas hatimu jika ia mampu melepaskan resah di dadamu. Curahkanlah air matamu dan mengadulah pada kekasihMU."

Selalu kita diuji dengan kekecewaan dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan jalan cerita yang pelbagai. KECEWA, semua kita pernah merasai perasaan ini. Kecewa kerana mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan, kecewa ditinggalkan oleh orang tersayang, kecewa tidak mendapat pekerjaan, kecewa gagal temuduga, kecewa kehilangan ahli keluarga. Pelbagai tahap kecewa yang telah melanda. Sama ada disebabkan kegagalan diri sendiri atau sedih diperlakukan oleh insan sekeliling.

Kecewa adalah salah satu daripada ujian Allah. Setiap ujian yang datang diberikan penilaian. Setiap ujian yang datang kepada kita adalah hikmah, dan bagi kita sebagai orang Islam, ujian adalah kekuatan untuk berjaya, bukan menjadi gagal atau lemah. Seperti kita menduduki ujian peperiksaan, ujian yang diberikan bertujuan untuk mencapai tahap kejayaan kita, bukan menjadi kayu ukur kelemahan kita. Semasa menghadapi ujian, kita perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu dan mental yang tinggi. Tidak dilupakan dengan doa dan tawakal berterusan kepada Allah SWT. Barulah ujian yang dihadapi mampu diharungi.

Kunci utama kekecewaan adalah kesabaran. Sabar. Sabar adalah jalan yang paling manis adalah menghadapi kekecewaan. Setiap yang bersabar itu adalah orang yang hebat. Kerana, apabila kita bersabar, kita berani mendepani masalah dengan tenang, berfikir secara matang dan menyerahkan segala penyelesaian kepada Allah SWT. Jangan mudah berfikir singkat semasa menghadapi masalah. Ramai pihak yang mengambil jalan dengan sengaja membebankan diri mereka dengan masalah terutama hati dan emosi masing-masing. Sebaliknya, mengadulah pada Allah, InsyaAllah hidayah dan ilham akan hadir jua.

Semua pernah kecewa, tapi ingat, kita ada Tuhan. Tuhan itu ada sentiasa untuk kita. Ingat, tidak semua kecewa itu negatif, ada kecewa yang positif. Contohnya gagal dalam peperiksaan, kekecewaan itu sebenarnya galakan untuk kita semakin kuat berusaha untuk percubaan seterusnya. Kecewa yang negatif ialah apabila kita asyik menyalahkan takdir. Oleh itu, kekecewaan bukan kunci utama pengakhiran hidup. Sebaliknya, jadikan kesabaran sebagai tunjang utama penghapus segala kekecewaan. dan kadang-kadang, hanya masa yang boleh mengubat kekecewaan, jangan terlalu memikirkannya hingan menyakitkan diri. Fokus untuk hari-hari yang mendatang. OPTIMIS.

OPTIMIS ^_^


No comments:

Post a Comment