Saturday 20 April 2013

Halangan ke arah perubahan

Apabila kita ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan, pasti banyak halangan yang akan tiba. Halangan-halangan tersebut menguji sejauh mana kita tetap teguh dan istiqamah dalam mencapai hijarah yang abadi. Lumrah manusia, setiap kesilapan pasti sentiasa berulang. Di situlah letaknya betapa besar dan kuatkah kekuatan istiqamah kita. Kadang-kadang kita tertarik untuk menyukai seseorang, sejauh manakah kita mengawal nafsu tersebut agar tidak menyukai atau mencintai lebih dari cinta Allah. Kadang kita diuji dengan wang, membeli perkara yang tidak mendatangkan manfaat, hanya untuk penonjolan gaya sahaja. walaupun pada masa tersebut, kita telah kehabisan wang. Nafsu sungguh besar pengaruhnya. Di sinilah letaknya kekuatan kita untuk menanamkan mindset agar tidak mengutamakan perkara-perkara yang lagha. Cinta manusia melalaikan manusia kerana nikmat dosa sememangnya menyeronokkan. Tiada cinta yang suci selain mencintai Tuhanmu, Agamamu dan Rasulmu. Tiada manusia yang mati sebab cinta manusia. Yang mati itu hanya kerana diperbodohkan oleh nafsu semata-mata. Bila akal tidak mampu menguasai kewarasan, nafsu mengawal dengan kehancuran. Ingatlah keutamaan dan akauntabiliti lain yang lebih penting dalam hidup. Agamamu, keluargamu, Sahabatmu dan Umatmu. Bertegaslah dan berpegang teguh pada pendirian untuk mencapai kebahagiaan dunia dan kekekalan akhirat yang abadi. Jangan umpama lalang, sekali terbang, terus hilang. Tangkis segala halangan dengan iman. Jangan mudah terpedaya pada ujian godaan nafsu yang membawa kita kembali ke arah kejahilan.

No comments:

Post a Comment